Tips Perubatan Islam & Amalan Sunnah
Saturday, 13 April 2013
BERSYUKURLAH SETELAH BANGUN DARI ’MATI’ SEMENTARA!
Bismillahirrahmanirrahim.
Antara amalan sunnah harian yang jarang dan agak sukar diamalkan oleh masyarakat Islam ialah setelah dapat bangun dari tidur. Nikmatnya tidur adalah sebagai suatu bentuk kerehatan untuk tubuh badan manusia. Tidur juga adalah merupakan suatu ibadah, di mana Allah menjanjikan ganjaran pahala sesuai dengan caranya.
Islam menggalakkan umatnya untuk mengamalkan tidur yang secukupnya supaya kita mempunyai tenaga yang cukup untuk bekerja dan beribadah sepanjang siang hari. Walau bagaimanapun, cara kita dalam menyambut kesyukuran setelah dibangkitkan dari tidur amat seringkali kita tinggalkan. Ini mungkin kerana kita masih melayan fikiran mimpi yang bermain dalam fikiran ketika tidur, ataupun kerana terkejut dek terlewat bangun atas sesuatu urusan. Ini menyebabkan kita melalaikan amalan sunnah Rasullulah S.A.W yang perlu dilakukan setelah bangun dari tidur.
Jangan begitu! Untuk mengejar pahala dalam mengamalkan sunnah Rasullulah S.A.W adalah amat mudah. Ianya bermula sedari awal pagi ketika kita dikejutkan bangun dari tidur. Pada awal pagi kita bangun, terus mulakan hari amalan sunnah harian kita.
AMALAN SUNNAH RASULLAH S.A.W SEDARI BANGUN DARI TIDUR:
1. Menjaga sebaiknya waktu bangun pagi
Berpagi-pagian adalah antara amalan orang-orang mukmin sedari dahulu lagi. Orang Islam yang mem’biasa’kan diri dengan bangun di awal pagi akan merasai suatu kekuatan yang luar biasa mereseap ke dalam diri. Akan timbul kekuatan untuk bekerja dengan lebih tekun dan kuat lagi. Malah, pintu rezeki Allah turut terbuka dengan luas untuk umatnya yang sentiasa tetap berpagi-pagian. Cubalah untuk bangun sebelum tiba waktu subuh tidak kiralah sama ada hari waktu bekerja biasa atau pada hari cuti. Buangkan mind setting yang mengatakan bahawa cuti hari minggu adalah hari untuk bermalasan dan melewatkan bangun pagi.
Rasulullah bersabda, “Berpagi-pagilah(subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah keberkatan dan kejayaan.”
(HR at-Tabarani)
“Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari”
(Diriwayatkan al-Baihaqi)
2. Menyapu atau mengusap muka / wajah dengan tangan
Sesudah tersedar dari tidur, kita digalakkan untuk mengusap muka dan wajah kita dengan tangan agar kita dapat sedar sepenuhnya dari tidur. Amalan ini adalah amalan yang dianjurkan berdasarkan hadis Rasullulah S.A.W dari Al Imam An-Nawawy dan Al Hafidz Ibnu Hajar.
فاستيقظ رسول الله – صلى الله عليه وسلم- فجلس يمسه النوم عن وجهه بيده
”Rasulullah bangun dari tidurnya kemudian duduk sambil mengusap bekas tidur dari wajahnya dengan tangannya”
(Hadits Riwayat Muslim)
3. Membaca 10 ayat terakhir Surah Al-Imran
Selepas itu, Rasullulah S.A.W akan membaca 10 ayat terakhir dari Surah Al-Imran. Seperti yang dinyatakan dalam hadis di bawah:
Setelah Rasulullah saw bangun dari tidur, maka baginda duduk dan menyapu wajahnya dengan tangan , kemudian baginda saw membaca 10 ayat yang terakhir daripada surah Ali-imran. (Muttafaqun alaih)
4. Membaca doa selepas bangun dari tidur
Antara amalan baik selepas bangun dari tidur adalah membaca doa selepas bangun dari tidur. Ianya adalah antara amalan sebagai tanda syukur kita kerana masih dibangkitkan selepas satu rehat yang panjang. Rasullulah S.A.W turut mengamalkan doa selepas bangun dari tidur seperti ayat di bawah.
“Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah ditidurkan-Nya dan kepada-Nya kami dibangkitkan.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
5. Meminum air
Amalan meminum air juga adalah antara amalan sunnah Rasullulah S.A.W. Meminum air selepas bangun dari tidur mampu meningkatkan tahap metabolisme, menjadi lebih peka dan sedar. Terdapat juga kajian di kalangan saintis Jepun mendedahkan bahawa amalan meminum segelas air selepas bangun dari tidur akan dapat membantu merawat beberapa penyakit seperti sakit kepala, sakit badan, sakit buah pinggang, masalah lemak berlebihan, asma, batuk kering, merawat jantung dan kencing kotor.
6. Menggosok gigi atau bersiwak
“Adalah Rasulullah, apabila bangun malam lalu membersihkan mulutnya dengan bersiwak atau menggosok gigi.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mengosok gigi atau bersiwak boleh memberikan kesegaran kepada badan di samping memberikan nafas yang segar. Bersiwak dengan menggunakan kayu siwak adalah amalan sunnah Rasullulah S.A.W yang mempunyai banyak kelebihannya.
“Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka melambatkan solat Isyak dan bersugi (menggosok) gigi setiap kali mereka hendak melakukan solat.”
(Hadis riwayat Muslim)
“Adalah Rasulullah apabila bangun malam membersihkan mulutnya dengan bersiwak”
(Muttafaq 'alaih)
Antara kelebihan bersiwak ialah mampu mencantikkan wajah, mengharumkan mulut, mencerahkan penglihatan, menghilangkan kuman dan membantu penghadaman, memerdukan suara, disamping mendapatkan keredhaan Allah dan pujian daripada malaikat untuk orang-orang yang bersugi.
7. Berzikir
Maksud zikir:
" Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah Yang Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya kekuasaan, dan bagiNya pujian, dan Dia berkuasa atas tiap sesuatu. Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah dan tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Allah Maha Besar, tiada daya dan upaya melainkan dengan keizinan Allah. Ya Allah, ampunilah daku. "
Selain itu, kita juga boleh mengamalkan zikir seperti diatas selepas bangun dari tidur. Insya Allah, tujuannya adalah supaya Allah mengampuni segala dosa kita dan kita dapat memulakan hari dengan mengingati Allah Maha Pencipta.
8. Menyucikan hidung atau beristinhar
Antara amalan Rasulullah S.A.W ialah supaya menyucikan hidung dengan menyedut air ke lubang hidung lalu dihembus keluar. Sepanjang kita tidur, syaitan telah bermalam dalam hidung kita. Jadilah adalah baik untuk menyucikan dalam hidung kita untuk mengeluarkan syaitan dari dalamnya.
“Apabila bangun dari tidur, maka beristintharlah tiga kali kerana sesungguhnya syaitan bermalam di batang hidung.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
9. Mencuci kedua-dua tangan sebanyak 3 kali
Selain hidung, amalan mencuci tangan juga adalah baik dan antara amalan Rasullulah S.A.W. Dari sudut pandang kesihatan, kita tidak pasti dan tidak sedar apakah yang telah kita lakukan semasa kita sedang tidur. Jadi amalan mencuci kedua-dua tangan sebanyak 3 kali adalah baik sebelum mula melakukan perkara-perkara yang lain. Niatkan amalan Rasullulah S.A.W, maka pahalanya akan berganda.
“Bila salah seorang di antara kamu bangun tidur, janganlah menyelamkan tangan ke dalam bekas, sebelum menyucikan tangan sebanyak tiga kali.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
10. Berwudhuk dengan sempurna
Langkah seterusnya untuk seorang muslimin seharusnya mengambil wudhuk dengan sempurna. Sememangnya dalam hidup, kita digalakkan sentiasa dalam keadaan wudhuk walaupun tiada niat untuk bersolat atau membaca Al-Quran. Setiap perkara baik yang kita kerjakan dalam keadaan berwudhuk adalah berkat dan sentiasa dalam rahmat Allah.
Sabda Rasullulah S.A.W,
"Sesiapa yang berwudhu' untuk melakukan solat diambilnya dengan sempurna,keluar (bersih) dosanya dari tubuhnya hingga keluar dosa dari bawah kukunya."
( Riwayat Muslim)
"Wudhu' itu ialah senjata bagi orang yang beriman".
Senjata yang Rasullulah S.A.W maskdukan di sini ialah seseorang yang dalam keadaan wudhuk akan terhindar dari segala perkara mungkar, maksiat dan tercela. Ianya adalah umpama benteng diri umat Islam supaya sentiasa berada dalam perlindungan dan naungan Allah S.W.T.
11. Menunaikan solat yang ringkas, seperti solat sunat tahajjud, 2 rakaat. Buat lebih lagi sekiranya mampu.
Sekiranya masih berkesempatan masa, seeloknya tunaikanlah solat sunat seperti solat sunat tahajjud. Masa untuk mengerjakan sunat tahajjud adalah selepas solat Isyak sehingga solat subuh. Bagaimanapun lebih afdhal ketika sepertiga malam, iaitu pukul 2.00 pagi sehinggalah masuk subuh. Cuma 2 rakaat sahaja, pahalanya amatlah besar. Ketika orang lain sedang diulit mimpi, kita boleh berdoa memohon keampunan dan meminta hajat kepada Allah S.W.T.
Diriwayatkan oleh Jama’ah dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Perintah Allah ‘Azza Wa Jalla, turun setiap malam ke langit dunia, tatkala malam tinggal sepertiga akhir, dan berfirman, “Barangsiapa yang berdoa kepadaKu pasti akan Aku kabulkan, barangsiapa yang bermohon kepadaKu pasti akan Aku perkenankan, dan barangsiapa yang meminta ampun kepadaKu pasti akan Aku ampuni. Sehinggalah terbit fajar (subuh).
Manakala ‘Amr bin ‘Abash meriwayatkan yang bermaksud : “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sedekat-dekat hamba kepada Allah ialah pada sepertiga malam terakhir, maka jikalau engkau dapat termasuk golongan orang yang berzikir kepada Allah pada ketika itu, usahakanlah.”
12. Bangunkan pasangan (isteri atau suami) dan anak-anak untuk bangun bersolat sunat
Seelok-eloknya, kita kejutkanlah ahli keluarga bersama seperti pasangan dan anak-anak kita untuk turut bangun awal dan mengamalkan sunnah ini. Di samping itu ajak untuk menunaikan solat sunat tahajjud.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Allah memberikan rahmat kepada seorang lelaki yang bangun malam untuk melakukan solat lalu membangunkan pula isterinya. Dan apabila isterinya itu menolak lalu dipercikkannya air di mukanya. Allah juga memberikan rahmatNya kepada seorang perempuan yang bangun malam untuk melakukan solat lalu membangunkan pula suaminya. Dan apabila suaminya itu menolak lalu dipercikkannya air di mukanya.”
13. Teruskan amal ibadat seperti solat sunat dan bacaan Al-Quran sehingga subuh, sekiranya mampu
Teruskanlah dengan amal ibadat tambahan seperti solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir sehinggalah tiba waktu subuh. Tetapi tidaklah perlu memaksa diri sekiranya tidak mampu – rentetan jadual harian yang sebok terutama sekali para surirumah. Jangan lupa zikir setiap masa. Yang penting, solat dan ibadah sekadar yang termampu dan konsisten atau istiqamah dalam melakukannya.
KESIMPULAN.
Apabila Rasulullah S.A.W bangun daripada tidur, baginda akan terus membaca ayat suci Al-Quran, berzikir dan memuji kebesaran Allah S.W.T. Ini adalah satu contoh ikutan terbaik untuk kita amalkan pada setiap pagi. Kehidupan Rasulullah S.A.W sendiri adalah merupakan suatu cermin kehidupan seorang muslim yang sebenar dan Rasullulah S.A.W telah membuktikan bahawa setiap amalan kita selama sehari semalam adalah ibadah.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Dan (Ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaku.
(Surah Adz-Dzariat : 56)
Semoga kita semua beroleh kekuatan untuk mengamalkannya.
Subscribe to:
Posts (Atom)